MELAKA: Calon muda Pakatan Harapan (PH), Mohammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah mengakui berdepan cabaran besar untuk menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi yang sekian lama menjadi kubu kuat UMNO.

Mengakui bapanya sendiri, Julasapiyah Kassim, tewas lima kali dalam pilihan raya di kerusi itu sejak 1999, anak muda berusia 25 tahun itu berkata ia sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk membawa misi PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Lebih dikenali Muklis Mubin, calon daripada dari AMANAH itu percaya perjuangan politik memerlukan kesabaran dan usaha berterusan.

Graduan Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menegaskan, beliau tidak menganggap jasa bapanya sebagai tiket untuk meraih sokongan, sebaliknya kepercayaan pengundi perlu diusahakan dan dibuktikan menerusi usahanya sendiri.