DUNGUN – Pasangan suami isteri yang disyaki giat melakukan aktiviti penipuan atau ‘scammer’ dengan menyamar sebagai pegawai kerajaan dan polis akhirnya berjaya masuk perangkap diberkas polis di rumah salah seorang mangsanya di daerah ini semalam.
Mereka ditangkap sekumpulan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada pihak polis sewaktu dikatakan mahu mengambil wang tunai RM50,000 di rumah mangsa yang telah diperdaya.
Ketua Polis Daerah Dungun, Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, sebelum ini, kedua-dua suspek telah memperdaya mangsa yang merupakan wanita berusia 62 tahun untuk menyerahkan dua utas gelang tangan bernilai keseluruhan RM17,000 pada 4 November lalu.
“Siasatan awal mendapati pada mulanya, mangsa telah dihubungi individu tidak dikenali disyaki berkaitan dengan dua suspek ini mengaku kononnya pegawai sebuah syarikat utiliti pada 3 November lalu.









