PETALING JAYA: Kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju perlu memainkan peranan masing-masing dalam menangani kerugian ekonomi akibat kejadian banjir kilat yang semakin kerap berlaku, khususnya di kawasan pembangunan pesat.

Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi,Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM),Prof. Dr. Shazida Jan Mohd Khan berkata, tanggungjawab itu tidak seharusnya hanya diberikan perhatian selepas bencana berlaku, sebaliknya perlu bermula sejak peringkat perancangan dan kelulusan pembangunan bagi mengurangkan risiko kerugian kepada masyarakat.

Katanya, usaha menangani kesan ekonomi akibat banjir perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama antara kerajaan, PBT, pemaju dan masyarakat berdasarkan peranan serta kewajipan masing-masing.