SETIU: Baru hendak menarik nafas lega selepas seekor beruang ditangkap akhir bulan lalu, penduduk Kampung Jelapang, di sini sekali lagi diundang resah apabila ada lagi haiwan itu dikesan berkeliaran di sekitar kampung berkenaan.

Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Jelapang, Zulkifliee Alias berkata, haiwan itu dilihat berkeliaran berhampiran kawasan kediaman termasuk di tepi jalan yang digunakan penduduk setiap hari.

Lebih membimbangkan kata­nya, terdapat penduduk terserempak dengan haiwan berkenaan ketika dalam perjalanan menghantar anak ke sekolah.

“Pada mulanya kami sendiri keliru kerana tidak pasti berapa ekor beruang yang berkeliaran di kawasan ini.“Selepas seekor beruang ditangkap bulan lalu, kami sangka keadaan semakin reda tetapi masih ada penduduk terserempak dengan haiwan ini. Berdasarkan maklumat sebelum ini, dipercayai masih ada dua ekor lagi berkeliaran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.