KUALA KRAI: Kira-kira 500 penduduk di empat kampung dalam Mukim Sungai Mengkuang, di sini, hidup dalam kebimbangan sejak kehadiran harimau dikesan dari hutan berhampiran sejak lebih dua minggu lalu.
Kebimbangan penduduk semakin memuncak selepas seekor lembu milik penduduk dipercayai diterkam harimau Isnin lalu, selain penemuan kesan tapak kaki yang dipercayai milik seekor harimau betina bersama anaknya.
Kejadian dilaporkan di Kampung Nara, Kampung Bukit Pacat, Kampung Gajah Mati dan Kampung Slow Temiang.
Penduduk, Mansor Derahman, 77, berkata, dia sudah lebih dua minggu tidak keluar menoreh getah kerana bimbang terserempak dengan haiwan liar itu, terutama selepas mendengar bunyi ngaumannya berhampiran kebun getah.








