DUNGUN: Taktik licik sepasang suami isteri menyamar sebagai anggota polis untuk memeras ugut seorang warga emas membawa padah apabila mereka dikepung dan ditangkap penduduk kampung di Felda Rasau Kerteh 3, di sini, kira-kira jam 4 petang tadi.

Kejadian bermula apabila mangsa, Mariani Ismail, 64, menerima panggilan video daripada suspek yang menyamar dengan memakai pakaian seragam pasukan keselamatan berlatarbelakangkan visual menyerupai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Mangsa yang berada dalam keadaan panik dan ketakutan akibat diugut serta dituduh dengan dakwaan palsu menyerahkan tiga utas barang kemas miliknya bernilai ribuan ringgit pada 6 November lalu.

Bagaimanapun, tindakan berani pasangan suspek yang kembali semula ke rumah mangsa hari ini untuk menuntut wang tunai tambahan berjumlah RM50,000 akhirnya membuka ruang kepada mereka untuk ditangkap.