Melaka: Polis mengesan satu video tular di Facebook memaparkan individu tidak dikenali menyamar sebagai pegawai polis bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka disyaki bertujuan melakukan penipuan.
Video tular itu dikongsikan seorang netizen dikenali 'E-full Bahry.'
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya memandang serius penyebaran video berkenaan dan menafikan sekeras-kerasnya sebarang kegiatan penyamaran yang boleh memperdaya orang ramai.
Menurutnya, insiden itu dipercayai membabitkan cubaan penipuan, selain berpotensi menjejaskan imej serta kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM).








