Kaherah / Istanbul: Empat penumpang maut manakala 88 lagi cedera pada Ahad selepas beberapa gerabak kereta api penumpang tergelincir dan terbalik di Wilayah Giza di utara Mesir, lapor Anadolu Ajansi memetik Kementerian Kesihatan negara itu.
Kemalangan berkenaan berlaku berhampiran Perkampungan Gerza di Daerah Al-Ayyat, di sepanjang laluan pertanian Kaherah - Aswan.
Kementerian memaklumkan sebanyak 72 ambulans telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi operasi bantuan kecemasan.
Menteri Kesihatan Khaled Abdel Ghaffar mengarahkan semua kemudahan kesihatan di Wilayah Giza dan wilayah jiran, Beni Suef, supaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta menyediakan rawatan kecemasan kepada mangsa yang cedera.







