KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 16 tahun (B-16) negara membuka kempen Kelayakan Piala Asia Bawah 17 tahun (B-17) 2027 dengan langkah kiri selepas tumbang 0-2 di tangan Palestin pada aksi pertama Kumpulan E di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Kegagalan anak buah Shukor Adan menyempurnakan beberapa peluang yang dicipta jelas membawa padah yang menyaksikan mereka terpaksa akur terlepas mata pada aksi pembukaan itu.

Keputusan itu menyaksikan skuad B-16 negara menyertai Guam yang turut tumbang pada aksi pertama selepas mereka dibelasah Singapura 0-6 dan mereka akan menentang Singapura di venue sama, Sabtu ini.

Malaysia mendominasi awal permainan dengan peluang terbaik hadir seawal minit kedua apabila Muhammad Haziq Shakirin merampas bola dari kaki pertahanan Palestin namun usahanya mendapatkan gol pembukaan dihalang pertahanan Palestin.