PETALING JAYA: Pelumba remaja negara, Qabil Irfan Azlan melengkapkan aksinya di kedudukan keempat keseluruhan pada perlumbaan penutup musim Piala Asia Moto4 di Litar Antarabangsa Lusail, Qatar, hari ini.

Dalam saingan bersempena Grand Prix (GP) Motosikal Qatar itu, anak muda berusia 14 tahun tersebut mencatat dua keputusan podium selepas beraksi cemerlang dalam Perlumbaan 1 dan 2.

Pelumba berbakat besar berasal dari Terengganu itu mengungguli Perlumbaan 1 dengan catatan masa 19 minit 38.271 saat (s), manakala Resky Yusuf dari Indonesia di tempat kedua (19:38.281s) dan wakil Jepun, Waku Kunitate (19:38.470s) di kedudukan ketiga.

Untuk Perlumbaan 2 pula, Qabil Irfan muncul selaku naib juara menerusi lakaran masa 26:17.070s.