SEPANG: Selepas hampir dua bulan terpaksa berehat panjang akibat kecederaan, pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan kembali 'meletup' apabila muncul juara Perlumbaan 1 pusingan kelima Moto4 Asia Cup di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Lebih manis, kejayaan itu turut menjadi kemenangan pertama Qabil Irfan dalam saingan Moto4 Asia musim ini, sekali gus membuktikan dia masih mampu memberikan saingan selepas melalui tempoh pemulihan yang panjang.
Qabil Irfan sebelum ini terpaksa berehat selepas mengalami patah tulang tibia dan fibula kaki kiri akibat terbabit dalam kemalangan ketika sesi Latihan Bebas 2 (FP2) Moto4 European Cup di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol, awal September lalu.










