DOHA: Malaysia sedang mempertimbangkan untuk mempercepat proses migrasi kuantum bagi memperkukuh keselamatan data negara susulan perkembangan teknologi pengkomputeran kuantum yang dijangka membawa cabaran baharu terhadap keselamatan siber.

Migrasi kuantum merujuk kepada proses menaik taraf sistem keselamatan digital sedia ada kepada teknologi penyulitan yang mampu melindungi data daripada ancaman teknologi pengkomputeran kuantum pada masa hadapan

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta syarikat telekomunikasi bagi meneroka kerjasama dalam bidang itu.