BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun akur kedudukan mereka dalam ranking Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ketika ini sudah menutup peluang untuk melangkah ke saingan Jelajah Dunia Akhir (WTF) bulan depan.

Meskipun muncul juara pada kejohanan Terbuka Perancis bulan lalu, namun ia belum dapat membantu mereka untuk layak memandangkan Wei Chong-Kai Wun sekadar menghuni tangga ke-33 dalam ranking Jelajah Dunia.

Keadaan itu sekali gus memaksa mereka untuk mengalihkan perhatian ke arah kejohanan Kumamoto Masters dan Terbuka Hong Kong selain mempersiapkan diri bagi menghadapi saingan musim baharu yang menggunakan format 15 mata.

“Saya fikir peluang kami untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir sudah tertutup. Fokus kami pada ketika ini adalah untuk menampilkan aksi terbaik dalam dua kejohanan akan datang, iaitu Kumamoto Masters dan Terbuka Hong Kong.