KUALA LUMPUR: Kerajaan Kedah digesa tidak menyamakan pendekatan penilaian cukai tanah sawah dengan tanah komersial atau industri bagi mengelakkan pesawah terus terbeban dengan tekanan kos sara hidup dan input pertanian semakin meningkat.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob, berkata walaupun pihaknya memahami keperluan kerajaan negeri menyemak semula kadar cukai tanah yang kali terakhir dikaji pada 2016, pelaksanaannya perlu mengambil kira keseimbangan antara usaha meningkatkan hasil negeri dengan kemampuan rakyat.

Beliau berkata tanah sawah ialah aset strategik pengeluaran makanan negara yang mempunyai pulangan ekonomi jauh berbeza berbanding hartanah pembangunan, justeru wajar diberikan perlindungan melalui kadar khas atau pengecualian bersasar.