TUMPAT – Sejak kematian ibu akibat komplikasi pelbagai penyakit kronik pada Mac lalu, segala tanggungjawab mengemudi keluarga serta menjaga kebajikan adik-beradik digalas sepenuhnya oleh Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Aliff Yaacob.
Menyedihkan pengorbanan abang sulung yang menjadi sandaran utama keluarga itu terhenti sekelip mata selepas beliau maut dalam nahas membabitkan sebuah van polis di Sungkai, Perak, semalam.
Adik bongsu arwah, Nur Syaza Awatif Yaacob, 16, berkata, pemergian Muhammad Shahrul Aliff merupakan satu kehilangan yang amat besar memandangkan arwah bukan sahaja bertindak sebagai abang, malah mengambil alih peranan ketua keluarga sepenuhnya.
Menurutnya, selepas ibu bapa mereka berpisah hampir dua tahun lalu dan diikuti pula pemergian ibu tercinta, arwah tidak pernah culas bertanya khabar serta menyalurkan bantuan kewangan buat mereka di kampung.








