KUALA LUMPUR: "Kesukaran mendapatkan rawatan di hospital hingga terpaksa menunggu lama satu ketika dulu menyebabkan ayah yang juga penoreh getah mahu ada anaknya menjadi doktor dan impian itu tercapai apabila keluarga kami kini ada 46 doktor termasuk cucu dan cicitnya," kata Datuk Dr Lim Boon Sho.
Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap dan pemilik Klinik Lim di Nibong Tebal, Pulau Pinang, berkata daripada 11 adik-beradiknya, lapan lelaki menjadi doktor dan seorang ahli perniagaan, manakala adik perempuannya menjadi peguam dan seorang lagi suri rumah.
Katanya, kehidupan serba kekurangan sebagai penoreh getah tidak menjadi halangan mendiang ibu, Loo Siew Chin dan bapanya, Lim Tang Too, membina legasi luar biasa itu apabila ada 46 doktor termasuk pakar dalam keluarganya.






