Shah Alam: Banjir kilat susulan hujan lebat petang tadi menyebabkan Persimpangan Bukit Raja di sini ditutup, selain beberapa lebuh raya utama di Selangor mengalami kesesakan teruk.

PLUS Malaysia Berhad menerusi kemas kini di platform X pada 5.53 petang memaklumkan Persimpangan Bukit Raja arah selatan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menuju ke Seksyen 7, Shah Alam, ditutup berikutan banjir.

Pengendali lebuh raya itu berkata, banjir turut melimpah di kawasan luar fasiliti penyelenggaraannya berhampiran Seksyen 7 dan i-City, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

"Keadaan trafik sesak. Pandu dengan berhati-hati," menurut kenyataan itu.