KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), namun susut berbanding kebanyakan mata wang utama dan serantau pada Selasa, susulan jangkaan terhadap pengetatan dasar monetari yang lebih agresif oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan berada pada paras 4.0915/0960 berbanding dolar AS, tidak berubah daripada paras penutup Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata minit mesyuarat dasar monetari terbaharu Reserve Bank of Australia (RBA) turut menunjukkan perbezaan pandangan dalam kalangan ahli lembaga pengarahnya selepas keputusan menaikkan kadar faedah penanda aras sebanyak 25 mata asas pada 4 November lalu.