KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka terus mencatat pertumbuhan kukuh pada suku ketiga 2026, disokong pengukuhan permintaan domestik, prestasi sektor pembuatan serta aktiviti perdagangan luar yang kekal memberangsangkan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Ketua Ahli Ekonomi AmBank Bhd, Firdaos Rosli, berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara diunjurkan berkembang 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, mengatasi anggaran awal 5.3 peratus, namun lebih rendah berbanding pertumbuhan enam peratus yang dicatatkan pada suku kedua tahun ini.
Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi negara kekal berdaya tahan dengan pengembangan merentasi beberapa sektor ekonomi utama.
Katanya, penggunaan swasta yang kembali meningkat melebihi lima peratus menjadi antara pemacu utama pertumbuhan, selepas berada di bawah paras itu dalam dua suku sebelumnya.









