WASHINGTON: Agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) mengesan rancangan Iran untuk melancarkan serangan menyasarkan pegawai kanan pentadbiran Presiden, Donald Trump di Washington DC dengan menggunakan bom radioaktif atau senjata kimia.
Memetik laporan rangkaian berita CNN pada Isnin yang merujuk kepada sumber terdekat perisikan, pendedahan itu telah mencetuskan kebimbangan keselamatan yang tinggi serta pelan kontingensi di peringkat kerajaan persekutuan.
Bagaimanapun, kalangan pegawai keselamatan AS dilaporkan masih berbelah bahagi mengenai sama ada Teheran benar-benar memiliki keupayaan operasi atau niat mutlak untuk melaksanakan serangan sedemikian dalam masa terdekat.
Sumber perisikan menjelaskan aktiviti Iran itu sekadar persediaan awal untuk mencari pilihan serangan, bukan bukti serangan akan berlaku serta-merta.









