Kuala Lumpur: Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah memulakan kempen Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong dengan langkah kanan apabila mudah melangkah ke pusingan kedua, hari ini.

Gandingan pilihan kedua kejohanan itu tidak berdepan banyak masalah untuk menyingkirkan beregu China, Fan Shu Tian-Luo Xu Min menerusi kemenangan straight set 21-13, 21-16 pada aksi pusingan pertama di Kai Tak Arena.

Pearly-Thinaah yang juga bekas naib juara dunia bagaimanapun diberikan tentangan sengit pada awal set pertama apabila lawan cuba mengimbangi permainan.

Namun, pengalaman dan ketenangan dimiliki pasangan negara itu membolehkan mereka mengutip mata demi mata sebelum menamatkan set berkenaan 21-13.