Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) komited menyediakan segala bentuk bantuan dan sokongan terbaik kepada atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin sepanjang tempoh rawatan dan pemulihannya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya SUKE, malam tadi.
MSN dalam satu kenyataan memaklumkan, komitmen itu bagi memastikan kebajikan atlet Program Podium berkenaan terus terpelihara, selain mendapat penjagaan sewajarnya serta peluang terbaik untuk sembuh dan pulih seperti sediakala.
Hafizuddin kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan hospital berkenaan.
Atlet itu dipercayai terbabas ketika menunggang motosikal kira-kira jam 11 malam, malam tadi sebelum mengalami kecederaan serius di bahagian kaki, bahu dan kepala.










