Serdang : Kontinjen negeri Pahang mengulangi sejarah apabila sekali lagi dinobatkan juara keseluruhan pada Peringkat Akhir Kebangsaan Malaysia Techlympics 2026.
Pahang mengekal kejuaraan yang dicatat pada tahun lalu selepas mempamerkan aksi cemerlang apabila merangkul lima pingat emas pada pertandingan berprestij yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, kelmarin.
Selangor pula menamatkan saingan di tempat kedua, manakala Melaka menduduki tempat ketiga daripada keseluruhan penganjuran yang berjaya merekodkan sebanyak 3.19 juta penyertaan di seluruh negara sejak Jun lalu.
Kelantan pula diumumkan sebagai negeri yang mencatatkan penyertaan tertinggi sepanjang penganjuran edisi kali ini dengan jumlah memberangsangkan sebanyak 1.06 juta penyertaan.










