KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Cakra Khan tidak gentar berdepan risiko diboikot atau kehilangan tawaran persembahan susulan kelantangannya menyuarakan pandangan mengenai pelbagai isu sosial.

Baginya, kehilangan peluang kerja bukan alasan untuk menggadaikan prinsip, apatah lagi apabila suara yang dilontarkan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu yang membabitkan kepentingan ramai.

Cakra mengakui sudah ada penganjur membatalkan undangan persembahannya, namun tidak menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang perlu dikesalkan, sebaliknya risiko yang harus diterima apabila memilih untuk bersuara.

Bagaimanapun, penyanyi Kekasih Bayangan itu tidak mendedahkan jumlah tawaran persembahan yang dibatalkan setakat ini.