Kuala Lumpur : Penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan mendedahkan beberapa tawaran persembahannya dibatalkan susulan tindakan lantangnya bersuara mengenai isu semasa serta pencemaran alam sekitar di media sosial.

Bagaimanapun, Cakra atau pemilik nama Cakra Konta Paryaman, 34, menegaskan dia tidak pernah gentar berdepan budaya boikot (cancel culture), malah sedia kembali memulakan kerjaya dari bawah sebagai penyanyi kafe sekiranya hilang punca rezeki dalam arus perdana.

"Saya sudah dibatalkan (tawaran persembahan), tetapi tidak mengapa. Saya mempunyai prinsip sendiri dan akan selalu mengeluarkan kenyataan yang saya fikir tidak salah untuk diungkapkan.

"Saya boleh kembali menyanyi di kafe. Asalkan saya boleh menyanyi, saya tiada masalah dengan itu kerana saya memang bermula dari sifar. Kemasyhuran hanyalah satu bonus bagi saya," katanya kepada Harian Metro.