GEORGE TOWN – Perjalanan pulang ke rumah selepas mendapatkan rawatan di hospital bertukar tragedi apabila seorang wanita maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Lembah Permai, Tanjung Bungah, di sini pada Selasa.Lebih menyayat hati, anak perempuan mangsa berusia enam tahun yang membonceng motosikal berkenaan mengalami kecederaan di dada dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu.Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 1.20 tengah hari.Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 36 tahun sedang dalam perjalanan dari Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pulang ke rumahnya di Batu Ferringhi bersama anaknya."Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah SUV." SUV berkenaan dipandu seorang wanita tempatan berusia 33 tahun," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Beliau berkata, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya mengalami kecederaan di bahagian dada dan kini menerima rawatan di HPP."Pemandu SUV pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan."Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.Sehubungan itu, Abdul Rozak memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Shahid Othman menerusi talian 017-2670543.