Kiulu: Percutian hujung minggu seorang lelaki di sungai bertukar tragedi apabila mangsa ditemukan tidak sedarkan diri selepas dihanyutkan arus di River Bothung View Campsite, Kiulu, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, mangsa dikenali Mohd Hazrul Tanjong @ Mohd Jafaruddin, 28, ditemukan orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi memberi bantuan awal pernafasan atau 'Cardiopulmonary Resuscitation' (CPR).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu daripada pemilik tapak perkhemahan.

Katanya, pasukan bomba digerakkan ke lokasi kejadian sebelum menerima maklumat susulan mangsa ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri.