KUALA TERENGGANU: Ahli Jawatankuasa Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) Terengganu, Chan Chee How, hari ini, mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan bagi mewakili masyarakat bukan Islam di negeri ini.
Chee How, 51, melafazkan sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Mohd Nor Hamzah, pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Terdahulu, usul pelantikan beliau dikemukakan ADUN Kijal, Datuk Razali Idris, sebelum diluluskan pada persidangan berkenaan.
Pelantikan itu dibuat berdasarkan Fasal XXVII (2) atau Perkara 27(2) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama) yang membolehkan ADUN lantikan dipilih bagi mewakili golongan yang tidak mempunyai wakil dipilih dalam DUN.









