KUALA TERENGGANU: Wakil kaum Cina daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang bakal dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan Terengganu akan mengangkat sumpah pada hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), minggu depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelantikan itu disegerakan bagi membolehkan wakil berkenaan mengambil bahagian dalam persidangan termasuk perbahasan pembentangan bajet kerajaan negeri.

Menurutnya, ADUN lantikan itu tidak akan diberikan portfolio khusus, sebaliknya berperanan membawa suara dan memperjuangkan kepentingan masyarakat bukan Melayu, khususnya kaum Cina di Terengganu.

Katanya, kerajaan negeri juga terbuka untuk mempertimbangkan pelantikan wakil daripada kaum lain termasuk masyarakat India pada masa akan datang sekiranya jumlah kelompok berkenaan signifikan dan memerlukan perwakilan dalam DUN.