ALOR GAJAH: Dakwaan bahawa penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali tidak membantu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanyalah khabar angin yang tidak membangunkan minda.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, khabar angin sedemikian tidak sepatutnya diperbesarkan kerana semua pihak perlu memberikan tumpuan kepada usaha memastikan kemenangan parti.

Ab. Rauf berkata, perkara yang telah berlalu tidak perlu terus dipersoalkan memandangkan calon yang bertanding kali ini merupakan individu berbeza.

“Itu tak adalah. Itu semua cakap-cakap yang dipanggil tak membangunkan minda. Barang yang lepas jangan dikenang-kenang. Calon pun sudah jadi orang lain,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan BN DUN Lendu di sini hari ini.