Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menyantuni masyarakat setempat di Kampung Durian Daun.ALOR GAJAH: Mohamad Hasan mengakui wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Sulaiman Ali selepas bekas ketua menteri Melaka itu digugurkan daripada calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan DUN Lendu.
Bagaimanapun, timbalan presiden Umno itu berkata keadaan semakin reda apabila Sulaiman sendiri turun membantu kempen calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid.
Katanya, ketidakpuasan hati selepas penamaan calon adalah perkara biasa, namun kehadiran Sulaiman bersama penggantinya menunjukkan beliau turut membantu mengukuhkan sokongan terhadap parti.
“Memang setiap pemimpin ada pengikut atau penyokong, tapi dengan kehadiran Sulaiman bersama-sama dengan calon, Hakim, ini jelas menunjukkan gelombang ataupun riak-riak selepas penamaan calon memang ada, biasa,” katanya.







