KOTA TINGGI: Perjalanan seorang anggota polis berpangkat sarjan untuk mengambil isterinya pulang daripada berniaga bertukar tragedi selepas dia antara yang terkorban dalam kemalangan maut di Kilometer (KM) 52.8 Lebuhraya Senai – Desaru, awal pagi tadi.

Mangsa, Allahyarham Sarjan Jorari Jusoh, 58, meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang ke Senggarang, Batu Pahat selepas mengambil isterinya, Yuli Helmiyati Mohd. Salleh, 51 yang berniaga di festival makanan bersama dua ahli keluarga lain dekat Bandar Penawar, di sini.

Anak mangsa, Amirul Hakim Jorari, 30, berkata, arwah bapanya itu bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat dan pergi ke Bandar Penawar pada Sabtu untuk menemani ibu tirinya berniaga sebelum bertolak pulang, kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.