​KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan 'Melakar Bahagia, Memacu Sejahtera' dengan peruntukan berjumlah RM1.983 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus, termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM450 juta.​Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi Perbelanjaan Pembangunan pula, sebanyak RM346 juta atau 77 peratus diperuntukkan kepada sektor sosial bagi menyokong pelaksanaan agenda pembangunan negeri.​Menurutnya, baki peruntukan pembangunan tersebut melibatkan RM82 juta atau 18 peratus kepada sektor ekonomi, manakala RM22 juta atau lima peratus lagi disalurkan kepada sektor pentadbiran.​"Di samping Terimaan Bukan Hasil yang dianggarkan berjumlah RM1.726 bilion, kerajaan negeri juga turut memberikan tumpuan kepada peningkatan hasil janaan negeri kepada RM361.06 juta.​"Ia merangkumi RM86.3 juta daripada Hasil Cukai dan RM274.76 juta daripada Hasil Bukan Cukai, sekali gus menjadikan keseluruhan lebihan hasil (surplus) sebanyak lima peratus dengan jumlah keseluruhan hasil berjumlah RM2.088 bilion," katanya.​Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini pada Isnin.​Mengulas mengenai cabaran semasa, Ahmad Samsuri menegaskan bahawa kedudukan kewangan negeri perlu dilihat dalam konteks perubahan ekonomi dan geopolitik global, termasuk ketidaktentuan pasaran tenaga, persaingan kuasa besar serta peningkatan kos sara hidup harian.​Jelasnya, perkembangan tersebut sudah pasti memberi kesan kepada aktiviti industri dan hasil berkaitan petroleum negeri memandangkan struktur ekonomi Terengganu banyak bergantung kepada industri petroleum dan petrokimia.​"Terengganu turut berhadapan dengan beberapa cabaran struktur yang saling berkait bermula daripada struktur industri dan pasaran yang perlu diberikan perhatian," ujarnya.​Tambah beliau, kejayaan agenda pembangunan menerusi angka pertumbuhan ekonomi atau kedudukan fiskal mesti bergerak seiring serta dinilai sejauh mana ia mampu diterjemahkan untuk merealisasikan kehidupan rakyat yang lebih bermaruah dan bermakna.​Bagi mencapai matlamat berkenaan, kerajaan negeri menggariskan lima fokus utama iaitu memperkukuh tadbir urus dan fiskal negeri menerusi pengukuhan ketelusan, akauntabiliti institusi serta penerokaan sumber hasil baharu.​Fokus kedua adalah memacu pertumbuhan ekonomi dengan merancakkan pelaburan berkualiti, mengukuhkan rantaian nilai dan memberdayakan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).​"Fokus ketiga ialah merancakkan sektor pelancongan melalui promosi yang agresif, penjenamaan strategik dan pemantapan produk pelancongan, manakala keempat memperkasa pembangunan modal insan menerusi latihan kemahiran aras tinggi serta ekosistem pekerjaan yang kondusif.​"Seterusnya, fokus kelima adalah menyejahterakan kehidupan rakyat dengan memperkukuh jaringan perlindungan sosial serta memantapkan akses kepada keperluan asas," kata