KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM1.983 bilion merangkumi perbelanjaan mengurus termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM450 juta.

​Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, belanjawan bertemakan ‘Melakar Bahagia, Memacu Sejahtera’ itu menunjukkan baki peruntukan pembangunan tersebut melibatkan RM82 juta atau 18 peratus kepada sektor ekonomi, manakala RM22 juta atau lima peratus lagi disalurkan kepada sektor pentadbiran.

​”Di samping Terimaan Bukan Hasil yang dianggarkan berjumlah RM1.726 bilion, kerajaan negeri juga turut memberikan tumpuan kepada peningkatan hasil janaan negeri kepada RM361.06 juta.

​”Ia merangkumi RM86.3 juta daripada Hasil Cukai dan RM274.76 juta daripada Hasil Bukan Cukai, sekali gus menjadikan keseluruhan hasil lebihan (surplus) sebanyak lima peratus dengan jumlah keseluruhan hasil berjumlah RM2.088 bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.