PETALING JAYA – Bukan bermaksud jual mahal atau sengaja memilih bulu, namun ketiadaan nama juara Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), Hazama dalam senarai bintang yang berentap di pentas Gegar Vaganza Fantasia (GVF) sebenarnya mempunyai alasan yang cukup kukuh.
Bukan juga merajuk jauh sekali digari kontrak eksklusif mana-mana stesen televisyen seperti momokan ramai, pemilik nama sebenar Hazama Ahmad Azmi, 42, itu sebaliknya mendedahkan jadual kerjanya sudah sendat hingga ke penghujung tahun.
Lebih padu, pelantun lagu Relakan Jiwa itu mengakui dia terpaksa menolak pelawaan pihak produksi secara baik kerana sudah awal-awal lagi menerima wang pendahuluan daripada penganjur acara lain.
“Pihak mereka ada tawarkan dan berbincang dengan saya. Cuma, setiap hujung tahun memang banyak acara dan agenda yang sudah dijadualkan.








