RANAU – Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes remaja perempuan yang parah selepas dipercayai terkena tembakan pada leher menggunakan bakakuk dalam kejadian di Sungai Keliu, Kampung Tinanom di sini Sabtu lalu.

Suspek berusia 40 tahun itu ditahan di rumahnya pada pukul 1.30 tengah hari Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, kejadian pada pukul 8 malam itu berlaku ketika remaja berusia 15 tahun itu dikatakan sedang menangkap ikan dan katak di tepi sungai bersama bapa saudaranya.

Katanya, siasatan awal mendapati bapa saudara mangsa terdengar satu das tembakan ketika sedang mencari kayu api sebelum menemui mangsa dalam keadaan cedera di tebing sungai bersama seorang lelaki lain.