Menteri Besar Amirudin Shari membentangkan belanjawan di Dewan Negeri Selangor hari ini.SHAH ALAM: Kerajaan Selangor hari ini membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM3.3 bilion untuk mengurus dan meneruskan pembangunan negeri bagi tahun depan, kata Menteri Besar Amirudin Shari.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1.9 bilion atau 57.6% diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM1.4 bilion (42.4%) bagi tujuan pembangunan.
“Demi menangani pelbagai cabaran semasa dengan lebih tangkas, pentadbiran ini mencadangkan Belanjawan Selangor 2027 dengan peruntukan sebanyak RM3.3 bilion,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Negeri Selangor.
Amirudin yang juga Adun Sungai Tua berkata, tahun depan kerajaan negeri turut menganggarkan hasil yang boleh dikutip sebanyak RM2.85 bilion terdiri daripada premium tanah sebanyak RM1,112.85 juta bersamaan dengan 39% daripada anggaran hasil.









