KUALA LUMPUR: Malaysia perlu beralih daripada pendekatan 'Made in Malaysia' kepada 'Made by Malaysia' dengan membangunkan teknologi sendiri, memiliki harta intelek dan membina syarikat tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata perubahan landskap pelaburan dan rantaian bekalan global akibat dasar perlindungan perdagangan, persaingan geopolitik serta perkembangan teknologi memerlukan Malaysia meningkatkan keupayaan industri tempatan.

"Negara tidak boleh terus berpuas hati sekadar menjadi pusat pemasangan produk atau membekalkan bakat untuk inovasi yang dibangunkan di luar negara," katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-20 Yayasan Khazanah di sini, hari ini.