Los Angeles: Seorang artis seni arca dari California mencipta kelainan apabila berjaya mencatat Rekod Dunia Guinness (GWR) menerusi kejayaan mendayung kayak sejauh 42.44 kilometer (km) secara solo, menggunakan bot yang diperbuat sepenuhnya daripada miselium kulat (jalinan benang halus kulat), lapor UPI.
Lelaki itu, Sam Shoemaker, yang berpangkalan di Los Angeles dan peminat kulat, melakukan perjalanan selama 12 jam dari Pulau Catalina ke Pantai Cabrillo di tanah besar pada Ogos 2025 menggunakan kayak sepanjang 3.66 meter (m).
Pencapaian itu melayakkannya menerima pengiktirafan GWR bagi mendayung solo paling jauh menggunakan bot yang diperbuat daripada miselium kulat.
Difahamkan, Shoemaker sudah menghabiskan lebih sedekad membiakkan dan mengusahakan puluhan spesies kulat sebelum mengubahnya menjadi arca dan pemasangan seni.






