KEMAJUAN teknologi robotik kini memasuki fasa baharu apabila sekumpulan saintis berjaya mencipta robot menyerupai rama-rama yang berupaya menghasilkan sendiri sensor baharu menggunakan sistem peredaran cecair buatan pada tubuhnya dengan bantuan cahaya ultraungu (UV).
Penemuan itu membuka perspektif baharu dalam pembangunan robot pintar yang bukan sekadar bergantung kepada sensor yang dipasang sejak proses pembuatannya, sebaliknya mampu menghasilkan komponen atau sensor baharu berdasarkan keadaan persekitaran.
Teknologi berkenaan dilihat penting kerana membuka peluang kepada pembangunan robot yang mampu menyesuaikan keupayaan fizikalnya ketika beroperasi di kawasan berbahaya termasuk bangunan runtuh, dasar laut bahkan planet lain pada masa akan datang.









