PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) melakar sejarah apabila berjaya meraih pengiktirafan rasmi Malaysian Book of Records (MBOR) menerusi penyertaan 1,036 peserta yang menjahit logo Kemas secara serentak pada 1,036 pasang baju seragam Tabika Kemas.
Pencapaian itu diraih menerusi Program Jahitan Logo Kemas Largest Sewing Event sempena majlis penutupan Festival Masyarakat Tahun 2026 (FESMA 2026) di Universiti Islam Selangor (UIS), Bangi hari ini.
Kemas dalam kenyataan di sini berkata, semua baju seragam lelaki dan perempuan berkenaan akan melalui proses kawalan kualiti sebelum disalurkan kepada kanak-kanak Tabika Kemas yang dikenal pasti.
“Inisiatif ini membuktikan keupayaan Kemas menggerakkan kemahiran dan penyertaan komuniti bagi menghasilkan manfaat secara langsung kepada masyarakat,” katanya.









