PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjur meningkat sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga 2026 (3Q2026), disokong pengembangan berterusan sektor perkhidmatan dan pembinaan, aktiviti pembuatan yang lebih kukuh serta pemulihan sektor pertanian.

Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB), unjuran itu mengatasi anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan unjuran median konsensus pasaran sebanyak 5.3 peratus.

“Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK negara bagi 2026 pada 5.3 peratus, dengan risiko pertumbuhan lebih cenderung ke arah positif,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut firma penyelidikan itu, walaupun unjuran berkenaan sudah berada pada paras tertinggi dalam julat unjuran pertumbuhan rasmi, masih terdapat ruang untuk pertumbuhan lebih tinggi sekiranya aktiviti pembuatan terus meningkat seiring daya tahan sektor perkhidmatan.