KUALA LUMPUR: Kerinduan peminat terhadap lagu Melayu Yuna yang pernah mewarnai persada muzik tempatan menerusi karya seperti Dan Sebenarnya serta Cinta Sempurna akhirnya terubat apabila penyanyi itu kembali dengan album penuh berbahasa Melayu, Senjata.

Selepas beberapa tahun memberi tumpuan kepada penghasilan karya bahasa Inggeris dan meneroka pasaran muzik antarabangsa, kemunculan album Senjata seolah-olah membawa peminat kembali mengimbau sisi muzik Yuna yang mula mencuri perhatian ketika era Myspace.

Yuna atau nama sebenar, Yunalis Mat Zara'ai mengaku penghasilan Senjata bukan sekadar memenuhi permintaan peminat, sebaliknya menjadi ruang buatnya menghidupkan semula pengaruh muzik yang membentuk identiti seninya ketika awal pembabitan dalam industri seni.