KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh berbanding kebanyakan mata wang utama tetapi menurun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan awal pada Jumaat berikutan pelabur kekal berhati-hati menjelang mesyuarat dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) AS pada Disember.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan menurun kepada 4.0780/0840 berbanding dolar AS daripada 4.0765/0805 semasa ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS terus meningkat kepada 103.198 mata, didorong oleh jangkaan bahawa Fed mungkin mengambil langkah mengetatkan dasar monetari pada mesyuaratnya bulan depan.

Katanya harga minyak mentah Brent turut naik 3.27 peratus kepada US$95.79 setong, menunjukkan tekanan inflasi dijangka kekal tinggi.