KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain pada Isnin, disokong oleh jangkaan kemungkinan normalisasi Kadar Dasar Semalaman (OPR) menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis ini.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0550/0635 berbanding dolar AS daripada 4.0555/0600 semasa ditutup pada Jumaat lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berpendapat bahawa ahli-ahli MPC akan memutuskan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas.

Beliau berkata, langkah awal pengurangan kadar pada Julai 2025, yang menurunkan OPR daripada 3.00 peratus kepada 2.75 peratus telah mencapai matlamatnya memandangkan pertumbuhan ekonomi kekal berdaya tahan meskipun berdepan kejutan tarif.