Penerbit filem dan drama tempatan berdepan dengan margin keuntungan yang kecil berikutan kadar bayaran stesen TV yang kekal statik dalam peningkatan kos produksi yang terus berlaku.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata, bayaran daripada stesen TV kekal pada kadar yang sama selama enam tahun selepas dinaikkan kali terakhir pada 2020.

Menurutnya, sebuah telefilem yang dibayar pada kadar RM132,000 telah menelan kos pembikinan antara RM115,000 hingga RM120,000 yang menyebabkan baki keuntungan yang tinggal untuk syarikat penerbitan hanya sekitar 10 hingga 15 peratus sahaja.

Keadaan itu secara tidak langsung memberi kesan domino kepada industri perfileman dan drama memandangkan kadar bayaran yang ditetapkan oleh stesen TV kerajaan juga lazimnya diikuti oleh stesen TV swasta.