BENTONG: Seramai 130,307 penagih dadah direkodkan di negara ini sehingga Jun lalu, dengan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis mencatatkan trend penggunaan serta penyalahgunaan dadah yang membimbangkan kerana melebihi nisbah nasional.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata empat negeri berkenaan mencatatkan kadar lebih tinggi berbanding nisbah nasional ketika ini ialah 381 kes bagi setiap 100,000 penduduk.
"Berdasarkan nisbah berkenaan, Terengganu mencatatkan 735 kes salah guna dadah bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Kelantan (694 orang), Kedah (669 orang) dan Perlis (646 orang), semuanya mengatasi nisbah nasional.
"Berdasarkan profil penagih, golongan berusia 15 hingga 39 tahun menjadi kumpulan paling ramai terbabit, manakala tahap pendidikan pula, majoritinya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah.






