SEPANG: Pelakon dan model Indonesia, Samudera Hurley Taylor, didenda RM2,300 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah mengambil dadah dalam kejadian pada Julai lalu.

Majistret, Khairatul Animah Jelani, menjatuhkan hukuman denda itu selepas ujian patologi mendapati sampel diambil positif dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid.

Dalam prosiding pada 9 September lalu, mahkamah turut memerintahkan Samudera, 24, menjalani hukuman penjara selama empat bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Pada Julai lalu, Samudera mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah berkenaan untuk kegunaan sendiri.

Dia melakukan kesalahan itu kira-kira jam 5.40 petang, 28 Julai lalu, di tandas Pusat Pengurusan Lapangan Terbang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.