DURIAN TUNGGAL: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memecah rekod berada dalam kedudukan 100 terbaik dunia apabila melonjak kedudukan ke-87 terbaik di dunia daripada keseluruhan 2,016 institusi pengajian tinggi lain dalam penarafan UI GreenMetric (UIGM) Sustainable World University Rankings 2026 yang diumumkan, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr. Massila Kamalrudin berkata, penarafan berkenaan mengiktiraf UTeM sebagai institusi yang melaksana dasar dan program mesra alam serta kampus lestari yang mampan.

“Pencapaian ini merupakan kejayaan berprestij UTeM di persada global bukan hanya pada ukuran kedudukan tetapi juga dalam aspek kemampuan UTeM melonjak kedudukan.

“Ini kerana UTeM telah menyertai UIGM pada 2016 dan mencapai kedudukan ke-269 daripada 516 universiti yang dinilai pada waktu itu seterusnya mencapai keputusan terbaik pada tahun lalu pada kedudukan 104 dunia,” katanya mengulas pencapaian ini di Kampus Induk UTeM, di sini, hari ini.