PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen menuntut disiasat individu di sebalik Dapat Vista (M) Sdn Bhd susulan dapatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bahawa syarikat itu mengendalikan sistem jaminan elektronik, e-Jamin, di 192 mahkamah seluruh negara selama lima tahun tanpa sebarang kontrak rasmi kerajaan.
RSN Rayer (PH-Jelutong), berkata identiti dan latar belakang pihak yang mempunyai pengaruh signifikan ke atas operasi syarikat berkenaan perlu didedahkan kepada Parlimen.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana Dapat Vista boleh mengendalikan wang deposit jaminan bernilai ratusan juta ringgit, selain mempersoal sama ada pihak berkuasa memeriksa latar belakang, keupayaan, dan pengalaman syarikat itu.






